Viralkan..

SKU Menilai Kepimpinan JAKIM



SKU MENILAI KEPIMPINAN JAKIM
Oleh : Zakaria Othman

JAKIM baru saja selesai mengadakan Mesyuarat Sasaran Kerja Umum (SKU) – satu mesyuarat yang diadakan untuk menilai pencapaian aktiviti dan program Jakim tahun 2008 dan seterusnya merancang pula aktiviti dan program tahun 2009. Pencapaian tahun 2008 dijadikan asas dan panduan untuk perancangan tahun 2009. Sebab itulah pentingnya semua pegawai-pegawai kanan Jakim sebagai ahli mesyuarat (Gred 48 dan ke atas) mengambil peluang hadir ke mesyuarat ini…dan Alhamdulillah hampir 100 orang pegawai kanan Jakim telah hadir ke Mesyuarat SKU di Damai Laut, Lumut pada 3 hingga 5 Disember 2008. Sedar atau tidak, jumlah pegawai kanan Jakim ketika ini mencecah hampir 100 orang. Antara mereka inilah bakal mewarisi kepimpinan Jakim suatu hari nanti.

Kepentingan SKU
Kebetulan saya berpeluang mengikuti perjalanan setiap sesi mesyuarat SKU Jakim bermula saya bertugas di Jakim pada tahun 2001 hinggalah sekarang. Ketika saya mula bertugas sebagai Pegawai Tadbir (Kontrak) di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, antara tugas saya ialah mengurusetiakan Mesyuarat SKU ketika itu. Saya dapat melihat dan merasakan bahawa mesyuarat ini sangat penting dalam menentukan hala tuju Jakim. Justeru tidak hairanlah kenapa mesyuarat ini perlu melibatkan semua pegawai kanan Jakim.

Kepentingannya saya rumuskan apabila Pengerusi mesyuarat (Ketua Pengarah Jakim) setiap kali mempengerusikan mesyuarat ini kadang-kadang terpaksa bertegang leher, bermasam muka dan kadang-kadang bertikam lidah membincang sesuatu isu yang dibangkitkan hanya kerana pencapaiannya tidak memuaskan hati atau tidak memenuhi standard yang dikehendaki. Saya dapat melihat bagaimana Allahyarham Datuk Mohamad Shahir Abdullah (Ketua Pengarah ketika itu) yang mempengerusikan mesyuarat dalam suasana yang sangat serius dan dan kadang-kadang tegang sehinggakan timbul keadaan tidak selesa di kalangan pegawai kanan yang menjadi ahli mesyuarat tersebut. Bahkan saya lihat kebanyakan ahli mesyuarat ketika itu tidak akan mengemukakan pandangan kecuali diminta berbuat demikian oleh Pengerusi (kecuali ada beberapa pegawai yang berani berbuat demikian dan mereka ini saya lihat memang mempunyai idea yang matang dan menguasai sesuatu maklumat yang dibangkitkan. Kini mereka itu sebahagiannya menjadi kepimpinan tertinggi Jakim).

Senario ini juga berlaku ketika Y.Bhg. Dato’ Mustafa Abdul Rahman mempengerusikan mesyuarat SKU di zamannya sebagai Ketua Pengarah Jakim. Dato’ Mustafa kelihatan lebih cool dalam mengendalikan mesyuarat walaupun sesekali kelihatan beliau secara sinis mempersoalkan pencapaian aktiviti yang tidak memuaskan. Saya perhatikan ahli-ahli mesyuarat lebih tenang dan selesa dalam situasi seperti ini.

Kepentingan SKU bagi Jakim bertambah jelas saya perhatikan apabila Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad mempengerusikannya. Kepentingan ini saya rumuskan apabila saya lihat setiap kali beliau menyampaikan ucapan muqaddimah mesyuarat. Sangat banyak gagasan idea-idea baru dan bernas disampaikannya. Harapan dan saranan beliau sebenarnya adalah hasil penelitian beliau terhadap senario semasa yang berlaku, peranan dan tugas Jakim dalam menghadapi isu-isu semasa dan bagaimana pula keupayaan pegawai-pegawai kanan khususnya, dalam mengharungi cabaran-cabaran tersebut. Dato’ Wan mewarisi kewibawaan Ketua-ketua Pengarah sebelum ini. Kadang kala kelihatan style atau gaya beliau mempengerusikan mesyuarat begitu serius sekali, ditambah dengan riak wajahnya memang kelihatan serius, sehinggakan ahli-ahli mesyuarat rasa tertekan dan ”panas” sepanjang berada dalam dewan mesyuarat. Walaupun sekali sekala Dato’ Wan memperlihatkan sikap relex dan cool dalam sesetengah situasi dengan gurauan beliau ketika bermesyuarat, tetapi ahli-ahli mesyuarat walaupun nampak sesekali ketawa besar dengan gurauannya itu, tetapi mereka tetap berhati-hati bimbang tiba-tiba soalan atau pertanyaan cepu emas yang tak diduga keluar dari mulut Dato’ Wan membuatkan mereka tergamam. Inilah barangkali agaknya yang membuatkan ahli-ahli mesyuarat kurang selesa dengan gaya Dato’ Wan persis seorang pensyarah yang mahu menguji pelajar di universiti. (Sebab itu juga saya dapat agak kenapa SKU kali ini beliau sendiri yang sarankan agar diadakan acara bersantai selepas mesyuarat untuk mengurangkan tekanan ahli-ahli mesyuarat).

Wawasan
Saya perhatikan Dato’ Wan akan serius, sesekali seperti marah apabila beliau tidak berpuas hati dengan laporan atau jawapan terhadap soalan tambahan beliau terhadap laporan yang disampaikan. Apabila pegawai teragak-agak memberikan jawapan, bagi beliau ini merupakan satu dosa yang sukar diampunkan. Bagi beliau sebagai seorang pegawai kanan, mereka perlu bijak membaca situasi dan keadaan di samping menguasai maklumat yang ingin dilaporkan. Bukan hanya membaca laporan yang disediakan oleh pegawai bawahan. Saya rasa itu adalah reaksi biasa bagi seorang ketua apabila sesuatu yang diharapkannya tidak memuaskan. Sebagai seorang ketua bagi sebuah organisasi yang besar fungsi dan peranannya seperti Jakim ini, sudah pasti beliau tidak rela melihat kerja-kerja dilakukan sambil lewa atau tidak mencapai sasarannya.

Sudah pasti seorang ketua yang mempunyai wawasan jauh seperti Dato’ Wan beliau sangat mengharapkan sesuatu yang lebih baik dari pegawai-pegawai kanannya. Sebab itulah apabila Bahagian-bahagian mengemukakan perancangan aktiviti yang kelihatan stereotype, beliau secara sinis menegur cara berkerja pegawai bawahannya. Maka tidak hairanlah setiap kali beliau mempengerusikan mesyuarat beliau akan mengambil masa yang panjang untuk menyampaikan idea-idea baru dalam ucapan muqaddimahnya. Saya rasa, sepanjang beliau menjadi Ketua Pengarah Jakim, kalau semua idea-idea baru yang disampaikan beliau dapat dikumpulkan, saya rasa sudah berpuluh-puluh idea menarik yang sepatutnya dilaksanakan oleh Bahagian-bahagian. Idea ini akan menjadi lebih menarik apabila ia disambut oleh pegawai-pegawai dengan penuh sikap positif. Lalu mereka menterjemahkan idea-idea ini dalam bentuk perancangan dan pelaksanaan di peringkat bahagian. Kalau tidak, masakan setiap kali mesyuarat SKU Dato’ Wan seolah-olah mengulang penekanan dan pendekatan yang sama dalam pelaksanaan dan perancangan aktiviti bahagian. Bahkan kadang-kadang beliau secara terus terang menegur tetang laporan yang disediakan oleh bahagian. Maka akan keluarlah kata-kata jujur dari mulutnya, ”laporan ini tak betul...tak bolehkah ada aktiviti lain yang baru...betulkah laporan ini...” Sebab itulah kadang-kadang kelihatan beliau seperti seorang bapa memarahi anak-anak yang degil dan tak faham hasrat dan kehendak seorang bapa. Beliau sebat pegawai-pegawai dengan pandangan sinis dan tajam. Bagi beliau, biarlah pegawainya tidak senang dengan sikapnya itu asalkan dia tidak berdosa dengan Tuhan nanti. Sebab itu juga timbul ketidakselesaan di kalangan ahli mesyuarat. Dan barangkali juga pegawai-pegawai tidak berani bersuara...lebih baik mereka mengambil pendekatan berdiam diri. (Kecuali pegawai yang ada kelebihan tersendiri bijak mengemukakan pandangan di hadapan Dato’ Wan dan mereka berjaya menarik perhatian Dato’ Wan apabila kelihatan Dato’ Wan mengangguk-angguk kepala...itu sudah tentu memberi semangat kepada pegawai tersebut...suatu keyakinan).

SMS
Semasa Mesyuarat Penilaian SKU Pertengahan Tahun 2008 yang lalu di ILIM, saya pernah menghantar SMS kepada Dato’ Wan apabila melihat ahli-ahli SKU (tidak semua) yang merasa kurang puas hati dengan cara Dato’ Wan menekan ahli mesyuarat dengan persoalan-persoalan yang membuatkan mereka kaku untuk menjawab. Sehinggakan seluruh dewan diam seketika dalam tempoh yang agak lama...terkedu dengan soalan yang beliau bangkitkan. Saya tidak pasti apakah soalan beliau itu ketika itu memang betul berkehendakkan kepada jawapan atau soalannya hanya sekadar untuk ahli mesyuarat berfikir. Mungkin semua orang terdiam ketika itu kerana tidak dapat membaca fikirannya ketika itu. Sehingglah beliau sendiri memindah ke isu yang lain. Seingat saya beliau kurang berpuas hati dengan bentuk program yang dijalankan oleh Bahagian tertentu yang stereotype. Tiada sesuatu yang baru. Apabila disoal balas beliau, jawapan yang diberikan tidak memuaskan. Ini yang beliau sangat pantang. Dalam SMS saya kepada Dato’ Wan, saya nyatakan kepadanya bahawa cara Dato’ mengendalikan mesyuarat mungkin memberi tekanan kepada ahli mesyuarat. Mungkin pegawai-pegawai kanan Jakim tidak sempat untuk memikirkan sesuatu yang baru dalam perancangan aktiviti SKU kerana mereka dibebani dengan jadual tugas rutin harian yang sangat padat. Ini menyebabkan mereka terpaksa fokus kepada bebanan tugas itu dan tiada ruang untuk mencipta idea baru. Sebab itu mereka menjalankan aktiviti kelihatan seperti tiada yang baru dan stereotype. Saya kemukakan pandangan saya kepada beliau supaya sudah tiba masanya Jakim mempunyai sekumpulan ahli pemikir atau thinktank yang boleh membantu Jakim dari segi idea-idea baru untuk melaksanakan aktiviti-aktivi yang semasa dan memenuhi kehendak khalayak dan kumpulan sasar supaya dakwah Jakim tidak kelihatan seperti ketinggalan zaman. Alhamdulillah Dato’ Wan terus membalas SMS saya. Beliau katakan bahawa dia sengaja mewujudkan suasana tegang dan tekanan kepada pegawai-pegawainya. Ada sebab dan tujuan katanya...beliau ingin melihat bakal-bakal pewaris Jakim matang dan kelihatan matang (itu istilah yang kerap digunakan oleh beliau). ”Ana mahu meninggalkan jakim dengan pegawai-pegawai Jakim yang lebih efisyen”. Lalu di benak saya terlintas bagaimanakah keupayaan pegawai Jakim yang ingin ditinggalkannya. Saya bayangkan bagaimana besar dan beratnya memikul amanah sebagai pegawai di Jakim lelih-lebih lagi bergelar pegawai kanan, pengurusan atau Ketua Pengarah Jakim. Beliau merasainya.

Wibawa
Di fikiran saya bayangkan bagaimana kewibawaan Dato’ Wan sebagai Ketua Pengarah ketika ini. Saya rasa semua orang sependapat dengan saya tentang kewibawaan beliau mengetuai Jakim ketika ini. Semangat dan wawasan beliau memacu Jakim menjadi pendorong kepada pegawai-pegawai yang lain khususnya pegawai kanan. Bagi saya, dengan kehadirannya bak seorang panglima gagah yang memimpin sepasukan tentera yang besar. Sudah pasti membangkitkan semangat tentera-tenteranya untuk berjuang. Beliau seorang yang optimis, berprinsip, memegang kuat kepada prinsip, walau apa saja cabaran yang datang, beliau menghadapinya dengan penuh tenang. Kewibawaannya sebagai ketua terserlah. Beliau disegani oleh pegawai-pegawai Jakim bahkan oleh sesiapa saja. Ketajaman fikiran, kejituan idea menjadikannya mampu menyampaikan sesuatu hujah/idea dengan berkesan. Tidak kira siapa yang berada di hadapannya...orang kecil atau orang besar...pangkat tinggi atau rendah...beliau mampu menyampaikan idea dengan berkesan. Y.B Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri pernah memperakui kewibawaan Dato’ Wan. ”Saya rasa terpukul dengan apa yang disebutkan oleh Dato’ Wan...saya rasa seolah-olah kepala saya sudah dipancung dengan ucapan Dato’ Wan...” Itulah ungkapan Y.B Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi apabila pertama kali beliau mendengar idea dan pandangan tajam Dato’ Wan ketika beliau mula sampai ke Jakim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Bahkan KSN, Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan, sewaktu beliau menyampaikan ucaptama dalam Kolokium Bina Insan Pegawai Tertinggi Agama Seluruh Malaysia di ILIM bulan Ogos yang lalu, pelbagai kritikan dan teguran telah dibuat oleh beliau mengenai agensi agama, seolah-olah agensi agama kelihatan seperti sangat bermasalah. Tetapi apabila mendengar pandangan dan penjelasan balas oleh Dato’ Wan sewaktu sesi dialog (sebenarnya Dato’ Wan bertindak sebagai moderator ketika itu) saya rasa KSN lebih faham mengenai kedudukan agensi agama di Malaysia. Bahkan saya rasa pandangan dan hujah Dato’ Wan pada malam itu menjadi tonik atau penawar kepada peserta-peserta kolokium yang tersentak seketika dengan kritikan dan teguran KSN itu. Malah ada beberapa pegawai kanan Jakim menghantar SMS kepada saya sebagai tanda terima kasih kepada Dato’ Wan. Satu dua SMS yang saya ingat sangat mencuit hati saya. Itu biarlah rahsia. Saya tergelak dalam hati membaca SMS itu. Itulah keupayaan Dato’ Wan. Bukan sebarangan orang yang mampu bercakap di hadapan KSN, lebih-lebih lagi dalam nada mempertahankan diri. Lalu saya bayangkan apabila beliau bersara nanti..bagaimana pegawai-pegawai Jakim mahu mengekalkan prestasi dan kedudukan Jakim ketika ini. Tugas sebagai Ketua Pengarah Jakim bukan calang-calang orang yang boleh menyandangnya. Justeru, tidak hairanlah apabila Dato’ Wan berkata beliau akan meninggalkan Jakim kepada pegawai yang lebih efisyen. Ertinya beliau sudah nampak apakah yang perlu ada pada seseorang pegawai untuk mewarisi Jakim lebih-lebih lagi yang bakal bergelar Ketua Pengarah. Ertinya, kalau mahu ada pegawai yang berani menyuarakan pendapat dan pendirian di hadapan siapa atau di forum apa sekalipun seperti yang telah dibuktikan Dato’ Wan, maka pegawai-pegawai kanan Jakim hari ini perlu lebih dahulu berani menyuarakan pendapat di hadapan Dato’ Wan. Kalau tidak...maka nanti akan ada pegawai Jakim yang ”garang tidak bertaring”.

Terasa Hati
Saya rasa kita tidak perlu terasa hati dengan cara Dato’ Wan dalam hal ini. Kita bayangkan kembali bagaimana emak ayah kita mendidik kita ketika kanak-kanak dahulu. Saya sendiri dulu selalu menangis dengan sikap ayah saya...selalu sangat menegur saya itu ini.. tak boleh itu tak boleh ini...membandingkan saya dengan orang itu orang ini...dan sebagainya lagi. Bahkan saya rasa seolah-olah ayah tidak kasih kepada saya lagi. Sedih betul. Nasib baik ada emak tempat mengadu. (saya teringat Ustaz Othman, TKP(O) dalam hal ini). Dulu memang saya tak suka style ayah saya begitu. Tetapi hari ini saya menangis lagi mengenangkan ayah saya (air mata saya mengalir ketika menulis tentang ini). Saya terkenang...kalaulah bukan kerana style beliau membesarkan saya begitu...mana mungkin saya dalam keadaan saya ketika ini. Setahu saya ayah saya tidak pernah bersekolahpun. Tidak kenalpun universiti. Tetapi saya bangga semua anak-anaknya berpendidikan tinggi...3 dari 6 anaknya ke universiti. Maaflah, ini sedikit peribadi. Saya rasa kebanyakan kita melalui suasana yang sama ketika membesar. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat kepada emak ayah kita. Saya cuma ingin kaitkan ini dengan style Dato’ Wan train pegawai-pegawai kanan Jakim sekarang...dan kita tunggu dan lihatlah bagaimana hasilnya nanti. Itu pengamatan saya.

Persiapan
Kalau kita perhatikan, kenapa SKU 1 Jakim yang ditetapkan ialah ”Meningkatkan Kewibawaan Pegawai Jakim”. Sudah pasti SKU ini diwujudkan demi kepentingan untuk merancang barisan pelapis Jakim yang berkebolehan. Berkebolehan untuk memimpin Jakim dengan penuh kebijaksanaan dalam suasana pelbagai pihak tertumpu kepada agensi agama seperti Jakim ketika ini.

Justeru, apakah persiapan yang perlu dilakukan oleh pegawai-pegawai kanan Jakim untuk mewarisi Jakim suatu hari nanti? Atau adakah kita semua rela sekali lagi berada di bawah ”pimpinan yang bukan Jakim”? Tidak mustahil. Kalau begitu, setakat manakah perjuangan PKPU selama ini? Relakah kita ?

Saya perhatikan SKU adalah medan bagi Dato’ Wan menguji keupayaan bakal pewaris Jakim. Saya yakin dalam ketika beliau mempengerusikan mesyuarat, beliau juga memperhatikan kewibawaan pegawai kanannya. Beliau melihat cara mereka membentangkan laporan, menyampaikan idea dan pendapat, sesekali beliau sengaja menguji mereka dengan maklumat tambahan dengan soalan yang saya rasa beliau sendiri sudah tahu jawapannya. Itu yang membuatkan mereka terperangkap atau ”terpukul”. Kadang-kadang kelihatan juga beliau seolah-olah memberi peluang pegawai yang lebih junior pendedahan untuk mengemukakan idea dan pendapat. Itulah cara Dato’ Wan ...

Workerhollic
Alhamdulillah saya berpeluang berkhidmat dengannya secara direct sebagai Pegawai Khas beliau. Apabila dipilih sebagai Pegawai Khas, bimbang juga saya nak menerima tugas berkerja dengan seseorang workerhollic dan berprinsip seperti Dato’ Wan. Bimbang takut tidak tercapai piawaian seperti yang dikehendaki. Tetapi saya menerima ini sebagai satu anugerah kepercayaan oleh pihak pengurusan dan sudah pasti saya sedaya upaya cuba memikulnya dengan sebaik mungkin...membalas kepercayaan ini. Saya cuba memahami Dato’ Wan dengan lebih mendalam. Cuba untuk serasi dengan style beliau berkerja. Saya selalu perhatikan sikap dan cara beliau berkerja...style mempengerusikan mesyuarat...ucapan spontan...penguasaan maklumat semasa... melayan tetamu dan pegawai...pengurusan masa (beliau ada cara tersendiri menguruskan masa...saya rasa saya tidak mampu mengikuti style beliau menguruskan masa...bila masa dia bersama keluarga?)...dan lain-lain.

Ketika ini, dalam benak saya...agak sukar untuk melahirkan seorang pegawai sepertinya. Justeru, pada saya Dato’ Wan perlu train pegawai-pegawai kanannya supaya kelihatan lebih efisyen (sekurang-kurangnya ada Dato’ Wan Jr) sekiranya beliau mahu melihat Jakim terus ke depan apabila beliau meninggalkan Jakim kelak. Dan pegawai kanan Jakim sendiri perlu sedar tentang kepentingan ini (pelapis). Jangan mereka pula tidak bersedia untuk mewarisi Jakim suatu hari nanti. Dan kalau pula betul ingin mewarisi Jakim sebagai ketua, apakah persiapan yang perlu dilakukan? Kita perlu ada sebuah pakej yang menarik untuk membuktikan bahawa PHEI juga mampu menjadi ketua yang disegani. Pakej inilah yang perlu dibentuk dan saya yakin dengan barisan kepimpinan yang sedia ada ketika ini, sekiranya diberi sedikit lagi pendedahan, dipandu oleh Dato’ Wan yang banyak pengalaman, saya kira kita mampu melahirkan kepimpinan Jakim yang lebih berwibawa.

Usrah
Saya sering bercampur dengan kawan-kawan PTD sama ada di pejabat atau di luar pejabat. Saya perhatikan mereka ini (kebanyakannya) apabila bertemu sesama mereka, mereka akan bercakap mengenai teori pengurusan terkini, bercakap tentang buku-buku pengurusan yang baru, dan pekeliling-pekeliling semasa kerajaan. Saya hanya berdiam diri apabila berkumpul dengan mereka...malu nak menyampok...tak ada maklumat...terlintas di fikiran saya bilakah kali terakhir saya membaca buku. Lama sudah rasanya tidak membaca buku. Justeru, saya rasa salah satu cara untuk kita kelihatan ke hadapan ialah kita perlu banyak menguasai maklumat (ini juga sering disebut oleh Dato’ Wan). Cara untuk menguasai banyak maklumat ialah melalui pembacaan. Jadi bila masa kita nak membaca kalau sentiasa dihambat kesibukan tugas semasa? Saya rasa sudah tiba masanya kita menghidupkan kembali budaya usrah seperti kita di universiti dahulu. Tetapi tidak perlu dengan nama usrah. Mungkin kita boleh guna nama lain...seperti intelectual discourse atau apa saja. Setiap kita boleh membaca sebuah buku yang baru...kemudian kita bentangkan ringkasan kandungan buku itu antara satu sama lain dalam usrah itu. Ertinya...kalau ahli usrah kita ada 10 orang bermakna sekali usrah kita sudah membaca 10 buah buku. Itu cara terbaik untuk membentuk pegawai yang bermaklumat. Konsepnya sama dengan usrah. Dalam usrah juga kita boleh berbincang secara anak beranak. Umpama ayah dengan anak...abang dengan adik-adik. Dalam suasana mesra, kita berbincang soal dalaman rumahtangga...pasti bahagia.

Kursus Pra Perkahwinan
Saya rasa PKPU juga patut berperanan ke arah menyediakan barisan pelapis kepimpinan berwibawa. PKPU bukan sekadar menguruskan kursus pra perkahwinan. Sekarang ini orang hanya mengenali PKPU sebagai penganjur kursus pra perkahwinan. Kalau begitu kita tukar saja nama PKPU kepada ”Penganjur Kursus Pra Perkahwinan Unggul” (PKPU). Kalau tidak, apakah sumbangan PKPU ke arah melahirkan barisan kepimpinan Jakim yang berwibawa?

Saya mohon maaf di atas pandangan dangkal saya ini. Saya kira orang lain juga ada pandangan yang lebih baik dari ini. Saya cuma seorang budak-budak yang baru hendak belajar, jadi kalau salah tolong tunjukkan. Pengalaman sebagai PHEI sekadar 5 tahun 9 bulan bukanlah sebanyak mana jika nak dibandingkan dengan pegawai-pegawai kanan yang lain. Tetapi, apa yang saya sampaikan di sini adalah berdasarkan kepada pemerhatian semata-mata. Yang sempurna hanyalah Allah SWT. Kita hanya mampu berusaha ke arah yang terbaik sahaja. Semoga Allah SWT membantu kita semua. Wallahu’alam.

Penulis ialah Exco Penerbitan dan Penerangan PKPU



Disediakan oleh : Webmaster
Tarikh : 06-12-2008
Hits : 3557

Logo PKPU

PKPU telah memperkenalkan logo baru persatuan yang lebih ceria dan menampakkan imejnya sebagai sebuah persatuan yang berwibawa. Logo tersebut mengandungi tiga warna dan bentuknya sesuai untuk diterapkan dalam penerbitan dan cenderamata.

Penerangan Logo

Warna Biru - Melambangkan kedamaian dan kesejahteraan
Warna Kuning - Melambangkan KeAgongan Islam Sebagai Wadah Perjuangan
Bucu 8 Kaligrafi - Melambangkan Islam Sebagai Asas Perjuangan
Bucu 5 Kaligrafi kiri dan kanan- Melambangkan Setiap aktiviti berteraskan
Ilmu -Ilmu Islam

Quran - Sebagai Asas Rujukan Sepanjang Zaman